PERLEMBAGAAN PERSATUAN
OBJEKTIF DAN MATLAMAT
Bertindak sebagai badan pentadbir atau perwakilan golf di peringkat negeri dan bergabung dengan Persatuan Golf Malaysia (Malaysian) Golf Association (MGA) untuk tujuan melaksanakan matlamat- matlamat golf di peringkat negeri dan dengan badan-badan golf lainnya yang boleh memberi manfaat kepada objektif-objektif yang tersebut didalam Artikel 4 ini. 4.2 Untuk menggalakkan dan memajukan sukan golf di peringkat negeri.
Untuk menganjurkan dan menggalakkan kejohanan golf dan apa-apa pertandingan atau kejohanan lain yang difikirkan perlu.
Untuk berurusan dengan agensi-agensi sukan Kerajaan Negeri Perlis bagi pembangunan dan kemajuan sukan khususnya golf di peringkat negeri.
Mewakili Negeri Perlis dalam mana-mana pertandingan golf.
Untuk menerima dan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Golf yang diluluskan oleh "The Royal and Acient Golf Club of St. Andrews, Scotland (R&A) dan" United States Golf Association" (USGA) serta “Malaysian Golf Association (MGA)
Untuk memberi nasihat tentang peraturan-peraturan tempatan (Local Rules) Kelab-kelab Golf di Negeri Perlis
Untuk membeli, menyewa, memajak atau bertukar harta untuk satu tempoh atau apa juga rupa, untuk menggunakan harta tersebut untuk apa jua tujuan berkaitan dengan objektif Persatuan termasuk menggadai, memajak atau menjual atas apa-apa terma dan syarat. samada kesemua atau sebahagian daripada harta tersebut untuk tujuan- tujuan yang boleh memberi manfaat kepada Persatuan dan ahli-ahlinya.
Untuk mengambil atau memperoleh dan memegang syer, stok debenture atau lain-lain sekuriti atau kepentingan didalam mana-mana Syarikat.
Untuk memastikan akaun teraudit sepenuhnya serta laporan teratur segala aktivitinya dan penggunaan dan perbelanjaan semua wangnya bagi tahun kewangannya yang sebelumnya dikemukakan kepada Persuruhjaya beserta dengan apa-apa laporan lain yang dikehendaki oleh Pesuruhjaya.
Untuk melabur apa-apa wang Persatuan yang tidak hendak dipakai bagi maksud pentadbirannya, didalam apa-apa pelaburan atau sekuriti yang difikirkan munasabah.
Segala keuntungan daripada aktiviti persatuan hendaklah dimasukkan ke dalam Tabung Kewangan Persatuan.
Untuk memastikan supaya Perlembagaan dan Undang-undang PAGA dipatuhi dan diikuti oleh semua ahli
Untuk melaksanakan semua aktiviti tanpa diskriminasi jantina, bangsa, warna, agama, asas sosial, bahasa, kecondongan politik atau apa-apa pendapat yang dipegang oleh ahli.
Dan secara amnya untuk menggalakkan kemajuan dan kepentingan permainan golf dan bertindak dengan apa-apa cara atau membuat apa- apa demi faedah dan kebaikan permainan dan industri golf di dalam Negeri Perlis.
KEAHLIAN
Ahli Biasa
Terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang lahir di Negeri Perlis atau bermastautin di Negeri Perlis berumur 18 Tahun ke Atas.
Ahli Gabungan
Tertutup Kelab-kelab atau mana mana badan organisasi yang mempunyai padang golf sekurang-kurangnya 9 lubang adalah layak untuk menjadi Ahli Gabungan Persatuan.
Kelab, Yayasan atau Pertubuhan Sukan yang berdaftar dan yang mempunyai aktiviti sukan golf sebagai aktiviti utama adalah layak dipertimbangkan untuk menjadi Ahli Gabungan Persatuan.
Ahli Bersekutu
Terdiri daripada individu yang berumur 7 tahun dan ke atas.
YURAN-YURAN KEAHLIAN
Ahli Biasa
Yuran Pendaftaran = RM100
Yuran Tahunan = RM120
Ahli Gabungan
Yuran Pendaftaran = RM300 setahun
Ahli Bersekutu
Yuran Pendaftaran = RM80
Yuran Tahunan = RM120
PERMOHONAN KEAHLIAN
Semua permohonan untuk menjadi Ahli Biasa hendaklah dibuat secara bertulis dengan mengisi borang yang disediakan dan dihantar kepada Setiausaha Kehormat Persatuan.
Semua permohonan untuk menjadi Ahli Bersekutu hendaklah dibuat secara bertulis dengan mengisi borang yang ditentukan yang ditandatangani oleh pemohon dan dua (2) orang Ahli sebagai pencadang dan Penyokong yang kenal dengan pemohon. Permohonan dan dihantarkan kepada Setiausaha Kehormat Persatuan.
Jawatankuasa Induk mempunyai hak untuk menerima atau menolak mana-mana permohonan tanpa memberikan sebarang penjelasan.
HAK-HAK DAN KEISTIMEWAAN KEAHLIAN
Semua ahli adalah dibenarkan untuk menyertai dalam mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh Persatuan.
Semua ahli adalah layak mendapat sesalinan Perlembagaan secara percuma sekali sahaja semasa pendaftaran (Soft Copy).
HAK MENGUNDI KEAHLIAN
Ahli Biasa
Ahli Biasa yang telah menjelaskan yuran keahlian mereka mengikut Artikel 7 mempunyai hak untuk hadir Mesyuarat Agong Tahunan dan layak mengundi dan juga layak untuk dicalonkan untuk bertanding apa-apa jawatan dalam Persatuan.
Ahli Gabungan dan Ahli Bersekutu
Ahli Bersekutu dan Ahli Gabungan tidak mempunyai hak untuk mengundi dan untuk dicalonkan, tetapi dibenarkan untuk menjadi pemerhati semasa Mesyuarat Agung Tahunan dan tidak layak untuk memegang apa-apa jawatan dalam Jawatankuasa Induk tetapi boleh dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Kecil.
Pengundian secara proksi adalah dilarang sama sekali.
PEMECATAN DAN PENAMATAN KEAHLIAN
Mana-mana ahli yang meletak jawatan secara bertulis dan diluluskan oleh Jawatankuasa Induk adalah dianggap telah berhenti menjadi ahli Persatuan.
Mana-mana kelab/organisasi yang ingin menamatkan Ahli Gabungan mereka dari Persatuan hendaklah memberikan notis secara bertulis kepada Setiausaha Kehormat selewat-lewatnya sebulan sebelum Yuran Tahunan perlu dibayar dalam tahun berkenaan, jika selainnya kelab/organisasi berkenaan adalah tanggungjawab untuk membayar yurannya bagi tahun tersebut
Semua permohonan untuk menjadi Ahli Bersekutu hendaklah dibuat secara bertulis dengan mengisi borang yang ditentukan yang ditandatangani oleh pemohon dan dua (2) orang Ahli sebagai pencadang dan Penyokong yang kenal dengan pemohon. Permohonan dan dihantarkan kepada Setiausaha Kehormat Persatuan.
Jawatankuasa Induk mempunyai hak untuk menerima atau menolak mana-mana permohonan tanpa memberikan sebarang penjelasan.
Mana-mana ahli yang bertindak secara bercanggah dengan Perlembagaan Persatuan, boleh dipecat atau digantung selama tempoh yang difikirkan patut oleh Jawatankuasa Disiplin. Tetapi sebelum apa-apa. tindakan diambil terhadap ahli tersebut hendaklah diberikan surat tunjuk sebab. Pemecatan atau penggantungan hendaklah bermula dari tarikh seperti yang dinyatakan oleh Jawatankuasa Induk dalam masa empat belas (14) hari dari tarikh seperti yang dinyatakan oleh Jawatankuasa Disiplin. Jawatankuasa Induk mempunyai hak untuk menerima, menolak dan membuat apa-apa keputusan yang difikirkan patut tetapi keputusan mereka adalah muktamad.
Mana-mana kelab/organisasi apabila berhenti menjadi Ahli maka hilang semua hak, keistimewaan dan apa-apa tanda persatuan, aset, dan hartanya.
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
Mesyuarat Agong Tahunan ialah pembuat dasar Persatuan yang tertinggi sejajar dengan tujuan dan matlamatnya.
Mesyuarat Agong Tahunan hendaklah diadakan tidak lewat daripada 31 Julai tiap-tiap tahun pada tarikh dan tempat yang diputuskan oleh Jawatankuasa Induk. Setiausaha Kehormat menghantarkan Notis Panggilan Mesyuarat kepada ahli sekurang-kurangnya empat belas (14) hari.
Kuorom
Tiada urusan boleh dijalankan pada mana-mana mesyuarat Agong melainkan kuorom adalah mencukupi apabila mesyuarat memulakan urusan. Apa-apa pengurangan bilangan perwakilan di bawah kurom selepas itu pada mana-mana mesyuarat tidak menjadikan perjalanan mesyuarat tidak sah.
Kuorom pada mana-mana Mesyuarat Agong hendaklah sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah bilangan perwakilan yang layak mengundi.
Jika dalam masa setengah jam dari masa yang ditetapkan untuk Mesyuarat, kuorom adalah tidak mencukupi. Mesyuarat itu, hendaklah ditangguhkan pada hari yang sama dalam minggu hadapan pada masa dan tempat yang sama, dan jika, Mesyuarat yang ditangguhkan itu kuorom masih tidak mencukupi dalam masa setengah jam dari masa yang ditetapkan untuk Mesyuarat, perwakilan yang hadir adalah merupakan kuorom.
Pengerusi
Pengerusi pada semua mesyuarat ialah Presiden atau dalam ketiadaannya Timbalan Presiden atau didalam ketiadaanya salah seorang ahli jawatankuasa yang dipilih oleh ahli mesyuarat.
Undi
Semua keputusan hendaklah diputuskan melalui suatu undi majoriti mudah.
KEWAJIPAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan hendaklah diadakan pada tiap- tiap tahun selepas penutupan tahun kewangan tetapi sebelum akhir bulan Julai dalam tahun berikutnya di alamat berdaftar Persatuan atau di mana-mana tempat di dalam Negeri Perlis dicadangkan oleh Jawatankuasa induk.
Sekurang-kurangnya dua minggu notis hendaklah diberikan kepada semua ahli. Notis tersebut hendaklah menyatakan urusan yang akan dibentangkan, bersama-sama laporan Tahunan dan Penyata akaun. tarikh, masa dan tempat mesyuarat.
Urusan Mesyuarat Agong Tahunan adalah seperti yang berikut:
Untuk mengesahkan minit Mesyuarat Agong tahunan dan/atau Mesyuarat Agung Khas sebelumnya.
Untuk mengesahkan Laporan Tahunan
Untuk mengesahkan Penyata Akaun
Untuk memilih dan melantik dua (2) orang Juru Audit Dalaman bagi tahun berkenaan
Untuk melantik Wakil Persatuan ke Malaysia Golf Association (MGA)
Untuk menimbangkan apa-apa urusan lain yang notis tidak kurang daripada seminggu telah diberikan kepada Setiausaha Kehormat
Untuk memilih jawatankuasa induk bagi pemilihan 2 tahun sekali
MESYUARAT LUAR BIASA (EGM)
Mesyuarat luar biasa boleh diadakan:
Atas permintaan Jawatankuasa Induk atau Presiden; atau
Atas permintaan secara bertulis dari majoriti ahli biasa yang tidak kurang satu pertiga (1/3) daripada jumlah ahli yang layak mengundi dengan agenda mesyuarat diperjelaskan.
EGM ini hendaklah diadakan dalam tempoh satu (1) bulan dari tarikh ia diminta oleh ahli biasa.
Notis dan agenda mesyuarat hendaklah dihantarkan kepada semua ahli biasa oleh setiausaha sekurang-kurangnya dua puluh satu (21) hari sebelum mesyuarat diadakan.
Kehadiran ahli Mesyuarat Agong Tahunan adalah terpakai bagi EGM tetapi selepas setengah (1/2) jam kehadiran tidak dipenuhi, mesyuarat ini hendaklah dibatalkan dan tiada lagi mesyuarat dengan agenda yang sama boleh diadakan bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada enam (6) bulan.
JAWATAN KUASA INDUK
Jawatankuasa Induk terdiri daripada:
Presiden
Timbalan Presiden
Naib Presiden 1
Naib Presiden 2
Setiausaha Kehormat (dilantik oleh Presiden)
Bendahari kehormat (dilantik oleh Presiden)
5 orang Ahli Jawatankuasa (dipilih melalui AGM)
Semua Pemilihan Ahli Jawatankuasa di buat 2 tahun sekali. Mereka memegang jawatan sehingga Mesyuarat Agong Tahunan yang berikutnya apabila mereka dikehendaki bersara tetapi adalah layak untuk dipilih semula kedalam jawatankuasa.
Nama pencalonan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah dicadangkan dan disokong secara bertulis dan hendaklah diserahkan kepada Setiausaha Kehormat 7 hari sebelum hari Mesyuarat Agong Tahunan. Pencalonan untuk jawatan tersebut hendaklah dikemukakan dari lantai pada hari Mesyuarat Agong Tahunan diadakan, boleh diterima dengan syarat selanjutnya bahawa seorang calon yang dicadangkan hendaklah memberikan persetujuannya kepada mesyuarat sama ada melalui beliau sendiri atau secara bertulis.
Bagi jawatan Naib Presiden 1 dikhaskan kepada Exco Sukan Negeri Perlis dan jawatan Naib Presiden 2 dikhaskan kepada Captain Kelab Golf Putra.
Apabila bilangan pencalonan diterima melebihi bilangan kekosongan untuk jawatan dalam jawatankuasa Induk, suatu pertandingan telah berlaku dan oleh yang demikian pengundian hendaklah dijalankan melalui pembuangan undi. Tiap-tiap perwakilan layak mempunyai satu undi sahaja. Undi proksi tidak dibenarkan.
Semua pemegang jawatan dalam jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa-jawatankuasa lain dalam Persatuan hendaklah:
berumur 18 tahun dan ke atas:
bukan seorang bankrap.
tidak pernah dikenakan tindakan disiplin oleh mana-mana Persatuan Sukan dalam tempoh lima (5) tahun yang selalu;
tidak pernah disabit dengan kes jenayah:
tidak terencat akal; dan
berdaftar sebagai Ahli Biasa, Persatuan Golf Negeri Perlis.
FUNGSI JAWATANKUASA INDUK
Perlantikan Pengerusi Jawatankuasa Kecil
Menguatkuasakan dasar persatuan yang telah diluluskan pada Mesyuarat Agong Tahunan atau Mesyuarat Luar Biasa
Mengurus dan mentadbirkan Persatuan dan menjalankan aktiviti- aktivitinya.
Menimbang dan meluluskan perbelanjaan untuk pentadbiran dan aktiviti-aktivitinya.
Merumuskan apa-apa dasar baru atau perubahan perlembangan yang perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) atau Mesyuarat Luar Biasa (EGM)
Untuk menimbangkan apa-apa tindakan disiplin terhadap semua ahli.
Perlantikan dan penamatan pekerja-pekerja pejabat yang bergaji.
Kelulusan keahlian baru.
Jawatankuasa boleh dari semasa ke semasa membuat undang-undang kecil jika perlu dibawah Perlembagaan ini untuk Pengurusan Persatuan dan ahli Gabungannya yang betul.
Mana-mana kekosongan yang berlaku di kalangan ahli-ahli Jawatankuasa Induk yang dipilih dalam tahun berkenaan hendaklah diisi dahulu oleh calon-calon untuk ahli-ahli Jawatankuasa yang tidak terpilih dalam Mesyuarat Agong Tahunan sebelumnya mengikut susunan bilangan undi yang diterima, jika tidak, Presiden mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana ahli untuk mengisi kekosongan tersebut dan ahli yang dilantik akan bersara pada tarikh Mesyuarat Agong Tahunan.
Jawatankuasa boleh melantik mana-mana orang kerana keperluan khusus yang mereka fikirkan patut.
Jika berlaku ketidakhadiran seorang ahli Jawatankuasa pada tiga Mesyuarat Jawatankuasa berturut-turut dan dengan syarat notis mesyuarat telah dihantarkan ke alamat Ahli yang terakhir diketahui, dia hendaklah secara automatik terhenti menjadi seorang ahli Jawatankuasa kecuali Jawatankuasa Induk berpuas hati dengan penjelasan yang munasabah.
Semua cek hendaklah ditandatangani oleh Bendahari Kehormat dan Presiden atau Setiausaha Kehormat. Perbelanjaan tunai hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh Setiausaha Kehormat yang bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Induk.
Jawatankuasa Induk adalah berkuasa untuk melantik beberapa Jawatankuasa Kecil dan mewakilkan kepada mereka mana-mana kuasa dan kewajipannya. Seorang ahli Jawatankuasa Induk hendaklah dilantik sebagai Pengerusi mana-mana Jawatankuasa Kecil yang dilantik di bawah Perlembagaan ini.
Jika berlaku apa-apa persoalan atau pekara berbangkit yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan ini keputusan Jawatankuasa Induk dalam semua kes hendaklah diterima sementara menunggu sama ada keputusan Mesyuarat Agong Tahunan atau Mesyuarat Agong Luar Biasa.
JAWATANKUASA KECIL (JKK)
Jawatankuasa Kecil Kewangan
Jawatankuasa Kecil Pembangunan
Jawatankuasa Kecil Pertandingan, undang-undang dan Teknikal
Jawatankuasa Kecil Disiplin; dan
Jawatankuasa-jawatankuasa Kecil lain yang difikirkan perlu diwujudkan oleh Jawatankuasa Induk.
KEWAJIPAN JAWATANKUASA INDUK
Presiden
Presiden ialah pengerusi semua Mesyuarat Agong dan Jawatankuasa Induk dan bertanggungjawab bagi kelancaran perjalanan PAGA dan disiplin semua ahli.
Timbalan Presiden
Timbalan Presiden mewakili Presiden dalam ketiadaan Presiden pada mana-mana mesyuarat atau majlis. Jika berlaku Presiden meletak jawatan atau dipindahkan dari jawatan, Timbalan Presiden hendaklah memegang jawatan Presiden dengan kuasa penuh sehingga Mesyuarat Agong Tahunan.
Setiausaha Kehormat
Setiausaha Kehormat bertanggungjawab menjaga semua rekod aktiviti dan surat-menyurat Persatuan. Beliau hendaklah menyenggara dengan betul, semua rekod termasuk keahlian berdaftar, laporan aktiviti dan minit-minit semua mesyuarat kecuali akaun kewangan Persatuan dan dikehendaki hadir dalam semua mesyuarat untuk mengambil minit. Setiausaha Kehormat hendaklah mengemukakan semua laporan tahunan dalam masa empat belas (14) hari selepas Mesyuarat Agong Tahunan kepada Pesuruhjaya Sukan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Pembangunan 1997.
Bendahari Kehormat
Bendahari Kehormat adalah bertanggungjawab menjaga aspek kewangan Persatuan. Dia hendaklah menyimpan akaun semua transaksi wang dan bertanggungjawab tentang ketepatannya. Bendahari Kehormat hendaklah menyenggara suatu akaun bank atas nama Persatuan dengan Presiden, Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat sebagai penandatangan sah. Semua cek untuk pengeluaran dari bank hendaklah ditandatangani oleh Bendahari Kehormat sebagai penandatangan utama dan ditandatangani timbal oleh Presiden atau Setiausaha Kehormat.
Ahli Jawatankuasa
Mana mana Ahli Jawatankuasa boleh dilantik untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kecil seperti yang dinyatakan mengikut Artikel 18.6 Perlembagaan dan menjalankan kewajipan seperti yang diarahkan oleh Jawatankuasa induk bagi kelancaran Perjalanan Persatuan.
KEWAJIPAN PENGERUSI JAWATANKUASA KECIL
Jawatankuasa Kecil Kewangan
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kewangan hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat dan melantik ahli- ahlinya. Tugas utamanya ialah untuk mencari sumber pendapatan untuk Persatuan melalui penajaan, agensi-agensi kerajaan, atau apa-apa cara lain yang sah dalam Persatuan Sukan dan Perlembagaan Negara.
Jawatankuasa Kecil Pembangunan
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat dan melantik ahli- ahlinya. Tugas utamanya ialah untuk mengaturkan program pembangunan dan latihan bagi semua ahli dan pasukan golf negeri termasuklah para pegawai dan jurulatih.
Jawatankuasa Kecil Pertandingan, Undang-undang dan Teknikal
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pertandingan Undang- undang Teknikal hendaklah mempengerusikan sentiap mesyuarat dan melantik ahli-ahlinya.
Tugas utamanya ialah untuk mengurus mengelola, mengawas menyelaras dan menguatkuasakan apa-apa peraturan pertandingan.
Jawatankuasa Kecil Disiplin
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Disiplin hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat dan melantik ahli- ahlinya. Tugas utamanya ialah untuk menyelesaikan apa-apa kes yang melibatkan disiplin dikalangan ahli- ahli dan pastikan dan menjatuhkan hukuman sewajarnya.
MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK
Jawatankuasa Induk hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga (3) bulan. Notis mesyuarat hendaklah diedarkan kepada semua ahli tujuh (7) hari sebelum mesyuarat Presiden dan tidak kurang daripada empat (4) orang ahli boleh mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk pada bila-bila masa yang difikirkan patut.
Kuorom mesyuarat Jawatankuasa Induk hendaklah sekurang- kurangya lima (1/2) orang daripada jumlah ahli Jawatankuasa Induk yang perlu hadir.
KEWANGAN
Punca pendapatan Persatuan adalah daripada:
Yuran keahlian tahunan:
Derma dan tajaan:
Bantuan dari kerajaan dan badan berkanun;
Hasil-hasil perniagaan, dan
Apa-apa sumber lain yang dibenarkan oleh undang-undang
Semua pendapatan yang diperoleh hendaklah digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat Persatuan dan semua ahli seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan.
Semua cek Persatuan hendaklah ditandatangani oleh Bendahari Kehormat dan Presiden dan/atau Setiausaha Kehormat.
Perbelanjaan yang melebihi RM10,000-00 pada satu masa tidak boleh dibayar melainkan dengan kelulusan Jawatankuasa induk.
Perbelanjaan yang kurang daripada RM10,000-00 pada satu masa boleh diluluskan oleh Bendahari Kehormat bersama-sama dengan Presiden atau Setiausaha Kehormat. Bendahari hanya boleh menyimpan wang tunai runcit tidak lebih dari RM2,500-00 pada satu masa. Wang tunai yang melebihi jumlah tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam bank atas nama Akaun Persatuan.
Perbelanjaan yang melebihi RM25.000-00 dalam sesuatu masa hendaklah mendapat kelulusan Mesyuarat Agong.
Penyata akaun, debit dan kredit bersama-sama dengan kunci kira-kira bagi setahun penuh hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh Juruaudit mengikut Perlembagaan. Akaun yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk kelulusan dalam Mesyuarat Agong Tahunan dan diedarkan kepada semua ahli.
Tahun kewangan Persatuan ialah dari 1 Januari hingga 31 Disember tiap-tiap tahun.
JURUAUDIT DALAM
Dua (2) orang yang bukan ahli Jawatankuasa Induk hendaklah dilantik di Mesyuarat Agong Tahunan sebagai Juruaudit Dalaman bagi tempoh dua (2) tahun dan mereka boleh dilantik semula untuk tempoh seterusnya. Mereka adalah dikehendaki mengaudit akaun dan menyediakan laporan dan juga mengesahkan semua akaun kewangan Persatuan.
Mereka hendaklah mengaudit akaun Persatuan bagi tahun berkenaan dan hendaklah menyediakan laporan untuk Mesyuarat Agong Tahunan.
Mesyuarat Agong Tahunan boleh melantik mana-mana firma Juruaudit untuk menjalankan apa-apa aktiviti pengauditan mengenai persatuan jika diperlukan.
TAFSIRAN
Diantara mesyuarat Agong Tahunan dan Jawatankuasa Induk boleh memberikan tafsirannya tentang Perlembagaan ini. Mereka adalah berkuasa untuk memutuskan apa-apa perkara lain yang tidak dinyatakan dalam Perlembagaan ini, jika perlu.
PERTIKAIAN DALAMAN
Jawatankuasa Kecil Disiplin dan Jawatankuasa induk hendaklah menyelesaikan ap-apa pertikaian yang timbul dikalangan ahli-ahlinya mengikut prosedur, peraturan atau prosedur dalam Persatuan.
PENASIHAT/PENAUNG
Jawatankuasa Induk Persatuan boleh melantik sesiapa sahaja yang sesuai untuk menjadi Penaung dan Penasihat Persatuan apabila perlu.
Penaung dan Penasihat tidak mempunyai hak mengundi dan membuat keputusan bagi pihak persatuan
PINDAAN ATAU PENGUBAHAN PERLEMBAGAAN
Apa-apa Perlembagaan boleh dimansuhkan atau dipinda dan apa-apa Perlembagaan baru boleh dibuat pada bila-bila masa dengan syarat pemansuhan, pindaan atau Perlembagaan baru tersebut hendaklah mendapat persetujuan dan diluluskan di dalam mana-mana Mesyuarat Agong Tahunan atau Luar Biasa. Resolusi untuk meminda atau memansuhkan mana-mana perjanjian atau membuat peraturan baru hendaklah disokong oleh dua per tiga ahli-ahli layak mengundi yang hadir.
Permohonan untuk meminda atau mengubah Perlembagaan hendaklah dipohon secara bertulis kepada Persuruhjaya Sukan dalam masa empat belas (14) hari selepas mendapat kelulusan mesyuarat tersebut dengan menyatakan dengan jelas pindaan atau pengubahan yang terlibat. Pindaan atau pengubahan tidak boleh berkuatkuasa melainkan diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan.
Perlembagaan hendaklah dicetak dan salinan hendaklah diberikan kepada semua Ahli dan Perwakilan di Mesyuarat Agong Tahunan dan Luar Biasa. Tiap-tiap Ahli dan Perwakilan adalah terikat oleh Perlembagaan dan dianggap sedia maklum tentangnya sama ada dia telah atau tidak mendapat salinanya.
LARANGAN
Semua bentuk perjudian dan aktiviti-aktiviti lain yang bercanggah dengan undang-undang adalah dilarang sama sekali di dalam premis Persatuan
persatuan atau mana-mana ahli adalah dilarang dalam apa-apa bentuk keterlibatan dengan mana-mana gerakan pekerja seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Persatuan tidak boleh mengadakan apa-apa loteri, sama ada dalam lingkungan ahli- ahlinya atau selainnya atas nama Persatuan atau pemegang-pemegang jawatannya, tanpa kelulusan Mesyuarat agong tahunan dan pihak berkuasa yang berkenaan.
Persatuan atau Ahli tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana aktiviti politik atau parti politik atau menjajar kepada mana-mana parti politik dan menggunakan Persatuan sebagai pentas politik.
PEMBUBARAN
Persatuan boleh dibubarkan oleh suatu resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agong Tahunan atau Mesyuarat Luar Biasa oleh dua per tiga (2/3) daripada semua ahli yang layak mengundi.
Jika berlaku Persatuan dibubarkan, semua hutang dan tanggungan yang dilakukan secara sah bagi pihak Persatuan hendaklah semuanya dilunaskan dan apa-apa baki dana hendaklah diserahkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia.